Saturday, 31 August 2019

Selamat ke nak pergi Kashmir sekarang?


Assalamualaikum & salam sejahtera

Kashmir. Sebuah wilayah yang terbahagi di antara 3 buah negara: India, Pakistan dan China. Kashmir cantik, lokasi pun strategik. Heaven on Earth orang bilang. Dari zaman British lagi, tempat ni dah jadi favourite summer retreat.

Kashmir putih bersalji. Rindu <3


Tapi kalau setakat sebab cantik, takkan lah diorang nak berebut wilayah ni kan. Kashmir terletak di sebuah lembah di banjaran Himalaya, dan menjadi wilayah penghubung di antara beberapa titik penting di sekitar banjaran Himalaya. Sebab tu Kashmir berharga.

Peta menunjukkan lokasi Kashmir relative to India, Pakistan, China & Afghanistan
Sumber: Google Map

Kenapa India nak Kashmir?


Secara teknikalnya, Kashmir ni dikira India yang punya. Semasa British menarik diri dari jajahan British Raj (India, Pakistan), Raja kepada Kashmir diberi pilihan sama ada untuk join India atau Pakistan. The general rule is, kawasan majoriti Islam join Pakistan, kawasan majoriti Hindu join India. Masa tu, Raja Kashmir ialah seorang Sikh. Padahal majoriti penduduk Kashmir ialah Muslim dan kedua ramai adalah Hindu. Nanti saya cerita kenapa diorang ada seorang Sikh sebagai Raja. Anyway, Raja Sikh ni akhirnya membuat keputusan untuk join India instead of Pakistan. Tapi ni tak logik la kalau consider lokasi Kashmir yang directly accessible dengan Pakistan, dan majoriti rakyatnya yang beragama Islam. So, of course la Pakistan tak puas hati kan.

Kenapa Pakistan nak Kashmir? 


Sekarang ni, Kashmir menjadi penghubung di antara sempadan negara Pakistan dan China. China merupakan rakan ekonomi utama Pakistan. China yang tolong buat Karakoram Highway, yang menghubungkan China dan Pakistan melalui wilayah Xinjiang. China banyak bantu ekonomi Pakistan, so kalau Kashmir jatuh secara keseluruhan di bawah kuasa India, sempadan China dan Pakistan tak bertemu dah macam sekarang.

Kenapa China nak Kashmir?


China sekarang menguasai bahagian timur laut Kashmir, yang dinamakan Aksai Chin. China perlukan Aksai Chin untuk menghubungkan wilayah Xinjiang dan timur Tibet. Masa zaman China kuat komunis dulu, diorang senyap-senyap buat satu military road dari Xinjiang ke Tibet, dan telah menyebabkan kemarahan India (sebab diorang rasa area tu di bawah jajahan diorang). Akhirnya tercetuslah perang India-China pada tahun 1962. India kalah, dah wilayah tu masuk ke China.

So, korang boleh nampak, masing-masing ada kepentingan tersendiri di Kashmir. Sebab tu diorang berebut.

Peta Sempadan Kashmir
Sumber: BBC

Sejarah Kashmir


Kashmir merupakan sebahagian daripada jajahan takluk Mughal Empire. Sebab tu, kalau pergi Kashmir antara tarikan utama di Srinagar ialah Mughal gardens. Ada banyak sangat taman diorang, saya pun tak sempat pergi semua. Mungkin korang sangka Mughal empire yang bawa Islam ke Kashmir, tapi bukan. Islam dah datang ke Kashmir sejak abad ke-14, dengan kedatangan pendakwah dari Central Asia. Sebelum tu, of course lah majoriti penduduk Kashmir beragama Hindu dan Buddha. 

Lepas Mughal, Kashmir dikuasai oleh penjajah dari Afghanistan. Diorang ni kejam, so bila tentera Sikh dari Punjab datang menawan Kashmir pada 1800-an, mula-mula diorang lega. Tapi malangnya rupa-rupanya penjajah baru ni pun sama kejam dan diorang masih ditindas. Dan dengan penjajahan Sikh, tamatlah penguasaan kerajaan Islam di Kashmir selama hampir 400 tahun. 

Pada tahun 1947, semasa India dan Pakistan dalam proses pembentukan, Kashmir diperintah oleh Hari Singh. Penduduk Kashmir masa tu dalam 77% Muslim, 20% Hindu dan lagi 3% adalah kombinasi Buddha dan Sikh. Penduduk Hindu, Buddha dan Sikh mahu join India. Tapi, bukan semua penduduk Muslim mahu join Pakistan, ada juga yang nak join India, terutamanya yang berfikiran sekular. Sebab kalau fikir dari segi ekonomi, memang lagi untung kalau join India. India dapat Kolkata & Mumbai yang kaya (banyak bank, ada pelabuhan besar). Pakistan dapat sempadan dengan negara 'problematik' macam Afghanistan dan Iran. 

Pakistan deperately nak Kashmir join diorang, sebab lokasi Kashmir strategik. So, ada pihak militan Pakistan pergi serang Kashmir, kononnya nak scare Kashmir into submission lah. Ahaha. Tindakan b*d*h betul. Lepas kejadian tu, Hari Singh decide untuk join India, dengan beberapa syarat. Syarat-syarat ni lah yang mebentuk Artikel 370 dalam konsitusi India.

Pergaduhan India-Pakistan


India dan Pakistan dah berperang sebaik sahaja diorang terbentuk. Sadis betul. Pertama kali berperang pada tahun 1947, disebabkan berebut Kashmir. Selepas perang ni, terbentuk lah Line of Control yang korang boleh tengok dalam peta di atas. Lepas tu bergaduh lagi pada tahun 1965, 1984, 1985, 1987, dan 1995. Pada tahun 1999 diorang bergaduh lagi kat Kashmir.

Siapa rajin baca berita mesti ada terbaca pasal pergaduhan antara India dan Pakistan pada bulan Februari tahun ni. Kejadian ni katanya hanyalah gimik yang Modi buat untuk tunjukkan pada rakyat India yang dia ni "kuat" dan takkan mengalah dengan Pakistan. Pilihanraya India akan diadakan pada bulan Mac dan April, so inilah masanya untuk tunjuk power.

India telah menyerang Azad Kashmir, kawasan Kashmir yang dikuasai oleh Pakistan. Pakistan lawan balik, dan telah berjaya menjatuhkan salah satu jet pejuang dari India yang telah masuk ke ruang udara Azad Kashmir, dan menahan askar yang bawa jet pejuang tu.

Atas dasar tak mahu berperang, PM Pakistan Imran Khan telah memulangkan askar India tersebut kepada pihak India. Pada mata saya, Pakistan yang "menang" dalam kes ini, sebab bersikap non-confrontational walaupun tiba-tiba askar India datang serang negara diorang, dan pulangkan askar tu tanpa dicederakan. Tapi Modi dengan tak malunya telah menyebarkan berita kononnya India yang menang dan Pakistan terpaksa akur dengan kekuasaan India. Media di India kena control oleh kerajaan, macam apa yang pernah berlaku di Malaysia satu masa dulu.

So, masa kejadian tu, Wisma Putra mengeluarkan arahan supaya tidak melancong ke Pakistan. Sedih tau. Sebab masa tu saya plan nak ke Pakistan. Terpaksa tukar plan. Berdendam betul dengan Modi. Lol. Tapi masa tu kalau nak ke India-administered Kashmir okay je. India serang Pakistan, so Pakistan tak selamat. Tapi Kashmir di kawasan India tak kena serang apa-apa pun, sebab masa tu yang cari pasal ialah Modi, dan Pakistan tak serang balas ke pihak India, cuma self-defense saja.

Kesian Azad Kashmir (Pakistan-administered Kashmir). Hutan diorang musnah, ada rumah orang awam yang musnah jugak. Sudahlah diorang ni memang miskin. Baru-baru ni, saya nampak berita pasal budak kecil yang mati sebab jumpa "bola" besi masa main. Dia dengan excitednya bawa "bola" tu balik rumah, tunjuk kat keluarga dia. Sekali "bola" tu meletup, budak tu mati berkecai, ahli keluarga dia cedera parah. Ya, tu bukan bola, tapi bom yang tak meletup. Katanya it was courtesy of India masa dia datang serang bulan Februari dulu. Wallahu'alam. Boleh baca berita kat sini.

Sekarang, Modi datang lagi dengan agenda baru. Semasa dia berkempen untuk pilihanraya baru-baru ni, antara manifesto Modi ialah  untuk menghapuskan Artikel 370 dan Artikel 35 (tapi saya fokus pasal 370 je dulu ye).

Apa itu Artikel 370? 


Semasa Kashmir decide untuk join India 70 tahun yang lalu, antara syarat-syaratnya ialah Kashmir ni perlu ada autonomy. Diorang ada undang-undang diorang sendiri, orang luar tak boleh suka hati beli tanah di sana, dan pegawai kerajaan pun mostly adalah dikalangan orang Kashmir sendiri. Kashmir hanya perlu akur dari segi defense, finance, foreign policy dan communication.

Dengan terbatalnya Artikel 370, Kashmir akan jadi macam wilayah India yang lain, dan berada directly di bawah pemerintahan New Delhi. Tak ada undang-undang tersendiri. Tak ada hak istimewa. Dan kena akur sepenuhnya dengan arahan New Delhi.

Diorang tahu apa yang diorang buat ni tak betul dan akan dibenci oleh penduduk Kashmir. So, awal-awal lagi Modi dah hantar BERIBU-RIBU askar ke Kashmir untuk pastikan tak ada masalah rusuhan dan sebagainya. Dan pelancong pun tak dibenarkan untuk masuk ke Kahsmir. Kashmir is under lockdown.

Ni gambar askar di Kashmir masa saya kat sana dulu.
Waktu ni ada satu 'kejadian' berhampiran Gulmarg. Jeng jeng jeng.

Telekomunikasi di Kashmir sekarang down. Takde internet. Ada yang sudah boleh pakai telefon, tapi tak semua lah. Ada yang kata certain area dah ada internet 2G, tapi tak tahu lah betul ke tak. Saya cuba untuk mesej kenalan saya di Kashmir pakai Whatsapp sejak raya haji, sampai sekarang masih one tick. So maksudnya, mesej tu belum masuk pun.

Baru semalam saya nampak BBC keluarkan artikel dengan gambar orang Kashmir yang cedera dipukul oleh pihak askar/polis. Tapi of course lah bila BBC tanya pihak authority, diorang tak mengaku la kan. Ada human right activists buat laporan yang penduduk Kashmir dianiayai oleh pihak tentera. Erm, ada sesiapa ke nak ambil kisah? Takde. This is a delicate issue. Selain Pakistan, saya tak rasa mana-mana negara lain akan ambil tindakan direct. Dan penduduk India di bahagian lain kebanyakannya sokong tindakan Modi. Tadi saya baca berita PM Imran Khan kata dia nak bawa isu ni ke mesyuarat PBB. Harap-harap ada la negara lain yang sudi bersuara nanti.

Tapi kan... kalau Kashmir join Pakistan dengan syarat diorang ada autonomi, dan tiba-tiba India decide diorang taknak ikut syarat tu dah, adakah Kashmir masih "kepunyaan" India secara sah? Ntah. Siapa ada jawapan tolong bagitahu ye.

Berbalik kepada persoalan asal.

Selamat ke nak pergi Kashmir sekarang?


Tak payah la pergi dulu. Sabar sikit ye. Saya tahu Kashmir ni cantik. Memang masuk bucket list semua orang. Tapi sekarang ni, macam-macam kita dengar pasal Kashmir. Kerajaan India sendiri dah halang pelancong masuk ke Kashmir, tapi ramai lagi rakyat Malaysia yang degil dan nak juga ke sana. Kalau korang masuk sana lepas tu stranded macam mana? Susahkan kedutaan Malaysia pulak nanti nak kena selamatkan korang. Kalau ada ahli keluarga tu lain cerita lah kan, pergi lah masuk sana pun. Saya dengar macam ada ramai juga orang Malaysia yang kahwin dengan orang Kashmir. (P/s: Diorang ni ramai yang hensem, mata biru. Ahakss :p)

Kalau korang faham dengan sejarah dan kenapa situasi di Kashmir jadi sebegitu, korang akan sedar yang sekarang bukan lah masa terbaik untuk ke Kashmir. Selepas balik-balik jadi mangsa keadaan dan tempat perebutan kuasa, Kashmir dah dapat relative peace dan mula menaikkan balik sektor pelancongan sejak beberapa tahun lepas. Tapi sekarang jadi macam ni pulak.

Diorang ni ramai yang miskin tau. Lokasi Kashmir strategik in term of defense, tapi dari segi agrikultur, takde apa pun. Sebab sejuk weih. Nak tanam apa? Yang famous kat sana saffron je la. Beras, gandum, kena import dari luar. Petroleum takde. Sumber galian apa je yang ada kat situ. Kesian sangat. Desperate betul nak mencari pendapatan melalui industri pelancongan, sebab pelancong bawa banyak duit ke sana.

Tapi malangnya, Modi wujud. Dan sekarang Kashmir bergolak semula.

(P/s: Lol sorry ya. Saya cerita kes ni dengan konotasi bias. Sebab saya memang tak suka Modi. Saya tak benci India as a whole tau. Saya jumpa ramai orang India baik masa saya kat sana. Yang jahat tu ada, cuma yang baik lagi ramai. Tapi Modi... saya memang benci. Opps.)

Adakah India Anti-Muslim?


Wow soalan cepu emas. Ada yang risau kat India ramai anti-muslim dan tak selamat untuk orang Islam melancong ke sana. Menurut pengalaman saya dulu, yang anti-muslim ni... saya tak nampak pun. Tapi dekat media isu ni digembar-gemburkan sangat. Sampai timbul rasa takut pulak ye.

Pada asalnya, India dibentuk sebagai sebuah negara demokratik sekular. Korang tahu tak... India pernah ada Presiden dari kalangan muslim tau. Bukan sorang dua, tapi beberapa orang. Well, technically Presiden ni tak berkuasa macam Perdana Menteri, tapi kira okay la, ada Presiden muslim. Malaysia pernah ke ada PM/TPM bukan Melayu muslim? Ngeee.

India ni negara besar. Tak dinafikan golongan anti-muslim ni memang wujud. Wujud dari zaman dulu. Tahu tak kenapa Mahatma Gandhi dibunuh? Sebab ada golongan ekstremis yang merasakan Mahatma Gandhi terlalu berlembut hati dengan komuniti Islam, termasuklah jiran/musuh diorang Pakistan. Maka pada tahun 1948, cuma setahun selepas India terbentuk, Mahatma Gandhi dibunuh.

Mahatma Gandhi masa muda-muda
Source: Wikipedia

Pembunuh Mahatma Gandhi ialah Nathuram Godse. Dia ni berfikiran radikal, dan cenderung ke arah parti politik berhaluan kanan (ie: right-wing). Nathuram Godse merupakan penyokong Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS) dan Hindu Mahasabha. Kedua-dua ni pun berhaluan kanan, dengan ideologi nasionalisme Hindu.

Saja nak cerita, parti politik Modi, iaitu Bharatiya Janata Party (BJP), diakatan adalah offshoot daripada RSS. RSS ni satu organisasi bersifat paramilitary dan banyak melahirkan organisasi berhaluan kanan yang lain. Disebabkan ideologi diorang yang radikal ni, RSS dah banyak kali pernah kena ban. British pernah ban diorang, lepas merdeka kerajaan India pun pernah ban diorang semasa darurat.

Selepas BJP menang dan Modi naik menjadi Perdana Menteri, ada pihak dari Hindu Mahasabha cuba untuk memutihkan imej Nathuram Godse dan menamakan dia sebagai seorang "patriot". Siap buat dokumentari dan nak bina satu temple untuk memperingati Godse. Wow. Tapi dokumentari tu kena ban, dan sentimen patriot tu tak diterima oleh majoriti orang India.

Macam mana pun, dengan naiknya BJP, kita boleh nampak yang India ni semakin berhaluan kanan. Bukan lagi sebuah negara sekular, tapi menuju ke arah negara Hindu. Ahli politik suka memainkan isu agama, so seperti yang berlaku di Malaysia, bila ahli politik start mainkan isu agama, rakyat pun diapi-apikan dan semakin berapi. Saya dulu sangat-sangat berharap BJP kalah, tapi tu lah... menang landslide victory pulak. Maka haruslah menghadap mamat ni lagi beberapa tahun.

So, adakah India ni anti-muslim? Tak jugalah. Pada dasarnya, diorang tak macam tu. InsyaAllah selamat je nak melancong ke India. Takdenye diorang tiba-tiba nak serang sebab kita pakai tudung. Muslim kat sana dah wujud dari zaman pembentukan India, kalau semua pun bersifat bencikan Islam, dah lama muslim di India pupus. Dan kalau semua pun anti-muslim, takkan lah pelakon muslim macam Shah Rukh Khan, Salman Khan dan Amir Khan boleh jadi terkenal kan? Saya jumpa ramai sangat peminat filem P.K masa saya kat India dulu, dan diorang ni memang mahukan India yang tak berpecah disebabkan agama. P/s: Majoriti peminat P.K ialah generasi muda. Sorang mamat ni cerita kat saya parents dia tak suka langsung movie P.K. Lol.

Tak semua manusia baik. Manusia jahat wujud di mana-mana. Dan saya tak tahu macam mana keadaan India di masa akan datang. So, pesanan saya, silalah banyak membaca berita. Kalau dah suka melancong tu, sila rajinkan diri untuk baca tentang negara yang korang nak lawati. Macam sekarang ni, the rest of India okay je, tapi janganlah melancong ke Kashmir pulak ya. Not the right time.


Apa yang kita mampu buat untuk bantu Kashmir? Hmm. Direct intervention tu tak mungkin lah ya. Jangan pulak berfikiran seperti militan dan sibuk nak serang India sana sini. Apa yang kita boleh buat cuma doa, dan beri kesedaran tentang situasi di sana. Saya rasa terkilan juga bila nampak satu dunia sibuk pasal Hong Kong dengan isu extradition bill diorang, tapi Kashmir yang memang kena hentam kaw-kaw ni takde sangat pun coverage. Tapi mungkin takde coverage sebab India ni lagi kuku besi, susah journalist nak masuk Kashmir dan buat liputan. Ye la kan, internet & phone line pun kena shut down. Kejam sungguh.

Secara personal, saya decide saya tak nak melancong ke India dah selagi Modi berkuasa. Tak significant pun, macam lah Modi peduli kan. Hahaha. Tapi itu je lah yang saya mampu buat. Bukan sebab risau tak selamat, tapi just sebab saya tak suka polisi dia. Saya nak pergi Pakistan pulak. Harap-harap Modi tak kacau Pakistan lagi. Tapi selamat ke la nak pergi sana. Tentera diorang dah start jenguk-jenguk dah kat Line of Control.

Sekian sahaja coretan saya tentang wilayah yang indah ini. Jom doakan diorang aman semula. Semoga takde berlaku perang India-Pakistan lagi. Dan saya harap next election Modi tak menang dah. Haih =_=


1 comment: